MUNGKIN banyak peluang baharu yang terbuka meluas di Filipina
menyebabkan pelakon tampan kita, Ben Amir, memilih untuk menetap di negara tersebut yang suatu ketika cukup dikenali oleh rakyat Malaysia dengan drama
Pangako Sa’Yo dan Sanay Wala Nang Wakas itu. Bagi Cik Bunga, bukan satu keputusan yang kecil untuk Ben buat begitu. Meninggalkan negara
sendiri, berhijrah ke negara orang dan kemudiannya memulakan segalanya dari bawah.
Sedangkan, semua tahu, Ben kalau di sini, sudah memiliki semuanya mungkin. Terutama kerjayanya dalam bidang seni yang penuh glamor dan popularitinya juga bukan kaleng kaleng.
Namun, Cik Bunga rasa mungkin jauh di sudut hati pelakon ini, ada rasa kosong atau
ketidaklengkapan yang menyebabkan dia berani buat keputusan besar seperti ini.
Ben nampaknya mempunyai jiwa yang lebih slow-pace. Tak mahu dia terkejar-kejar lagi
dengan kehidupan serba laju di ibu kota. Maka, Ben pilih untuk menetap di pulau iaitu di Siargao, Filipina. Difahamkan, Ben bukan saja-saja duduk di situ. Ada perancangan yang telah disusun rapi dan antara yang dia ingin buat di situ adalah membina villa, beberapa bisnes termasuk hendak bina ladang di sana.
Wah! Memang tabik spring Cik Bunga dengan Ben. Anak muda yang berwawasan. Mungkin ada orang kata, bukankah lebih baik jika Ben lakukan semua itu di negara sendiri? Malaysia bukannya tiada pulau-pulau cantik yang menjanjikan peluang keemasan untuk diterokai.
Tetapi, itu keputusan yang telah dibuat Ben. Cik Bunga percaya pasti ada sebab mengapa Ben buat demikian. Mungkin peluang yang dia dapat itu tidak sama seperti di tanah air sendiri. Kalau kita dapat peluang begitu, mungkin kita pun ambil dan tidak
lepaskan juga bukan? Tak apalah, yang penting, Ben bahagia dengan cara sendiri. Dia pun mungkin sudah putus asa dengan industri seni. Siapa tahu bukan?