PUTRAJAYA: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah membuat kejutan apabila hadir memberi sokongan kepada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Bella yang memakai baju kurung berwarna cerah bercorak bunga itu dilihat tiba sekitar pukul 8.40 pagi.
Dia kemudiannya menunggu di lobi mahkamah bersama-sama ibu bapa serta ahli keluarga Syed Saddiq dipercayai bagi memberi sokongan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Bella sebelum ini turut meraih perhatian netizen selepas dilihat menemani Syed Saddiq ke Parlimen baru-baru ini.
Bella, 31, atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq pasangan yang kini ‘trending’ di media sosial selepas dipilih menjadi model baju raya bagi sebuah jenama fesyen.
Nasib Syed Saddiq sama ada dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atau kekal bersalah atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini. – UTUSAN