SEREMBAN: Seorang bekas pengasuh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Siti Nur Syafiqah Abdul Rahman, 23, yang membuat pengakuan bersalah menganiaya atau bertindak cuai pada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada November tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Nur Syafiqah menyempurnakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, jika gagal bayar cagaran tertuduh boleh dipenjara dua bulan.
Hukuman penjara ditetapkan bermula dari tarikh tangkapan pada 5 November 2024.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun (ketika kejadian) telah menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal iaitu mencakar, menoreh pipi kanan serta mencubit tangan (kesan lebam).
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 12 tengah malam, 4 November 2024 di sebuah bilik sewa di Jalan BBN 1/3K Putra Point Nilai.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammmad Hafiz Leman mewakili tertuduh. – UTUSAN