MELAKA: Seorang bekas pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan khemah utama yang tidak wujud berjumlah RM24,000 untuk sebuah program anjuran kementerian itu, dua tahun lalu.
Tertuduh, Yeow Chin Chai, 43, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya suatu dokumen iaitu invois atas nama Shahz Titah Bumi Enterprise bertarikh 18 September 2023 berkenaan pembekalan khemah utama berjumlah RM24,000 untuk Program Mount Ophir Ultra Trail Melaka Tahun 2023 sedangkan tiada sebarang pembekalan khemah utama dilakukan.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Melaka dalam daerah Melaka Tengah antara 18 September dan 10 Oktober 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mana-mana nilai lebih tinggi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari dan Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam, Mohd. Fadly Hashim mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang munasabah kerana anak guamnya bekerja di bahagian dasar Gred 48, menanggung empat anak yang masih kecil serta ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi, kolesterol dan jantung.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dimhon pendakwaan dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – UTUSAN