PADANG BESAR: Seorang bekas pemandu komuter didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita menggunakan senjata di Perpustakaan Desa, Kampung Tersusun, Padang Besar bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Hafiz Ruslan, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak rantai tangan milik Normelia Abd Rahman, 40, dan bersenjatakan pisau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.40 pagi pada 27 Februari lalu di Perpustakaan Desa, Kampung Tersusun, Padang Besar dan boleh dihukum di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad yang memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh serta memohon satu tarikh baru bagi sebutan semula kes.
Peguam tertuduh, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dalam hujahnya memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri selain menghidap penyakit asma.
Katanya, anak guamnya juga merupakan penyara utama kepada empat tanggungan termasuk termasuk dua anak, isteri yang tidak bekerja dan ibu kandungnya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 April depan dan tertuduh membayar wang jamin seperti yang diarahkan
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis tidak sampai enam jam setelah menyamun gelang emas milik pembantu perpustakaan desa di Kampung Tersusun.
Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya menahan suspek di Kampung Kolam, Padang Besar pada pukul 3.40 petang, hari sama.
Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan samun seorang diri dan telah menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas di Jitra, Kedah. – UTUSAN