PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khas kepada seorang Ahli Parlimen antara dua individu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu telah ditahan pada 5 Mac lalu kira-kira pukul 9.30 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM 1.5 juta membabitkan pembekalan Interactive Smart Board kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.
“Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya hari ini.
Perintah reman selama empat hari bermula semalam sehingga 9 Mac 2025 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN