KUALA TERENGGANU: Sebanyak 7,505 kampit beras putih tempatan (BPT) bersubsidi seberat 10 kilogram (kg) diedarkan di pasaran di seluruh Terengganu sejak 2 Mac lalu hingga hari ini.
Pengarah Negeri Kawalselia Padi dan Beras Terengganu, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata, proses penghantaran bekalan BPT pelbagai jenama di pasaran masih dilakukan hampir setiap hari mengikut tempahan daripada peniaga di negeri ini.
Katanya, berdasarkan jumlah bekalan BPT yang diedarkan itu, ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna pada Ramadan ini sehingga menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.
‘Kebanyakan bekalan beras dihantar pemborong dari luar seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Pada masa ini, pengguna di Terengganu tidak lagi menghadapi masalah kekurangan BPT apabila bekalan beras itu cukup di pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ahmad Suffian berkata, pengguna juga boleh membeli BPT pada harga yang ditetapkan iaitu harga RM26 sekampit seberat 10 kg.
“Bagaimanapun terdapat pasar raya besar di negeri ini yang menjual BPT dengan harga lebih murah daripada harga yang ditetapkan iaitu RM25.50 dan RM25.80 sekampit (10kg),” katanya.
Katanya, bekalan beras putih import juga mencukupi di pasaran walaupun permintaan lebih tinggi pada Ramadan ini. – UTUSAN