Bazar Ramadan jadi produk pelancongan baharu di Pulau Pinang

Bazar Ramadan jadi produk pelancongan baharu di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika meninjau Bazar Ramadan Liga Muslim di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dijangka memasukkan bazar Ramadan dalam kalendar pelancongan negeri sebagai salah satu tarikan baharu untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa datang ke Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bazar Ramadan yang diadakan saban tahun bukan sekadar tempat membeli juadah untuk berbuka puasa tetapi mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan.

“Kita sudah ada asas yang kukuh dan sambutan terhadap bazar Ramadan semakin meningkat setiap tahun. Oleh itu, kita perlu memanfaatkan peluang ini dengan menjadikannya sebagai satu tarikan utama dalam sektor pelancongan negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa meninjau pembukaan Bazar Ramadan Liga Muslim di George Town, petang semalam.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang terkenal dengan makanan dan warisan budaya yang unik, justeru, bazar Ramadan boleh menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan tersebut kepada pelancong.

Katanya, konsep bazar Ramadan yang lebih luas dan tersusun dapat diperkenalkan di beberapa lokasi berbeza, bukan hanya terhad kepada satu kawasan sahaja.

“Semasa Ramadan, kita boleh melihat banyak bazar dibuka di merata tempat. Ini menunjukkan permintaan tinggi, bukan hanya dalam kalangan penduduk tempatan tetapi juga pelancong yang ingin merasai pengalaman membeli juadah di bazar Ramadan,” katanya.

Kon Yeow berkata, langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan sepanjang tahun.

“Penjenamaan bazar Ramadan sebagai satu produk pelancongan akan melibatkan promosi yang lebih menyeluruh, termasuk melalui kempen pelancongan negeri dan pemasaran digital.

“Kita akan menggunakan apa yang sedia ada, tetapi dengan strategi promosi yang lebih berkesan supaya bazar Ramadan bukan sahaja dikenali di peringkat tempatan, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kon Yeow menambah, usaha ini akan melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, peniaga, dan pemain industri pelancongan bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

Katanya, beliau yakin bahawa dengan promosi yang berkesan, bazar Ramadan di Pulau Pinang mampu menjadi satu lagi daya tarikan utama bagi pelancong yang ingin merasai pengalaman budaya dan kulinari Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya