SEREMBAN: Walaupun dikatakan berdepan saingan jualan secara dalam talian, para peniaga tetap menjadikan penganjuran bazar-bazar Aidilfitri sebagai lokasi atau ‘lubuk’ meraih lebih pendapatan.
Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang di sini yang menjadi lokasi tumpuan dan sentiasa ditunggu-tunggu peniaga kelengkapan untuk menyambut hari raya khususnya pakaian.
Saban tahun, suasana meriah dan sesak menjadi kelaziman di Dataran Senawang menjelang Aidilfitri apabila orang ramai dari serata pelosok negeri ini akan mengunjungi untuk membeli-belah di lebih 300 tapak perniagaan yang disediakan.
Menurut peniaga pakaian hari raya yang juga Pengurus MARS Kuala Lumpur, Hadzeed Syazwan Hashim, 31, dia sudah menyertai jualan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang sejak lapan tahun lalu dan sambutan diterima daripada pengunjung dan pembeli amat menggalakkan.
Tanpa berselindung dia memberitahu, tahun lalu nilai jualan pakaian hari raya yang dijualnya di bazar berkenaan juga mencecah lebih RM 1 juta.
“Alhamdulillah, Bazar Aidilfitri Dataran Senawang memang terbaik, penganjur juga bagus, tahun ni dari awal puasa memang sudah ramai yang datang.
“Kedai pun bagai nak roboh kerana terlalu ramai, Alhamdulillah, setiap tahun nilai jualan baik. Sebelum ni jualan cecah RM1 juta, tahun lepas RM1.2 juta dan untung bersih pada tahun lalu sekitar RM400,000,” katanya ketika ditemui di sini.
Ujarnya lagi, walaupun ramai mengatakan jualan di bazar Aidilfitri sudah tidak macam dahulu kerana adanya jualan dalam talian namun menurutnya, masih ramai lagi yang mahu membeli di bazar-bazar.
“Seperti kami sendiri, kami pada bulan-bulan lain memang tidak mempunyai kedai secara fizikal, memang jual ‘online’ juga namun untuk Aidilfitri memang kami akan masuk berniaga di bazar-bazar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Terkini Negeri Sembilan (NSU), Md Sani Md Shah berkata, pihaknya sekali lagi diberikan peluang menjadi penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.
“Di Dataran Senawang ni ada tiga pihak penganjur, kami dapat sebanyak 140 tapak perniagaan untuk diuruskan. Di sini memang sudah dikenali sebagai lokasi bazar Aidilfitri, sudah popular dan sudah lebih 10 tahun dianjurkan.
“Walaupun di negeri ini terdapat bazar Aidilfitri di lokasi lain seperti di Nilai namun terutama pada hujung minggu orang ramai tetap datang ke sini untuk berbelanja, ia memang sudah mempunyai tarikannya yang tersendiri,” katanya lagi. – UTUSAN
caption
HADZEED Syazwan Hashim (dua dari kanan) menunjukkan baju Melayu jualannya di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Seremban.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.