PETALING JAYA: Bazar Aidilfitri Anjung Syawal yang berlangsung selama 33 hari di Dataran Putrajaya berjaya menerima kira-kira 500,000 pengunjung setakat ini.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. yang juga penganjur, Rayme Zainal berkata, jumlah tersebut sekali gus menunjukkan penganjuran bazar bersempena Aidilfitri masih mendapat sambutan.
Malah katanya, setakat ini sebanyak 320 lot niaga telah berjaya dijual melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot.
“Walaupun spekulasi dan dakwaan mengatakan bazar Aidilfitri kurang mendapat sambutan sebelum bulan puasa lagi, tapi alhamdulillah setakat ini sambutan diterima baik.
“Lagipun orang ramai masih lagi mengunjungi bazar. Namun, ia bergantung kepada lokasi sesebuah bazar. Kalau terletak berhampiran kawasan tumpuan, insya-Allah pasti ada sambutan diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rayme berkata, pihaknya menyasarkan jualan mencecah RM10 juta, merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran.
Katanya, sasaran itu dapat dicapai memandangkan bazar terbesar di Lembah Klang ini telah memasuki tahun ke-13 penganjurannya dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
“Kami menjangka sambutan luar biasa daripada penduduk luar Kuala Lumpur yang membolehkan setiap lot niaga menjana jualan sehingga RM30,000,” jelasnya. – UTUSAN