PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berkaitan mana-mana pihak cuba mengaitkan kes dihadapi bekas Naib Presiden UMNO itu dengan gabungan berkenaan.
“Setakat ini, kita tidak mendengar hal yang cuba mengaitkan kes Ismail Sabri dengan BN.
“Seperti dimaklumkan, jika terdapat pun, isu terkait dengan individu dan bukannya BN.
Isu terkait dengan individu itu biarlah diuruskan dengan individu itu, tetapi yang mustahaknya biarlah proses berjalan seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Semalam, Anwar berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat andaian terhadap siasatan Ismail Sabri, selain meminta semua pihak tidak terburu-buru serta membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan adil.
SPRM pada sidang akhbar 3 Mac lalu berjaya menemukan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta di di tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.
Susulan rampasan terbabit, SPRM mengesahkan Ahli Parlimen Bera itu dianggap sebagai suspek kes terbabit, selain antara tindakan diambil ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah meminta beliau melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM. – UTUSAN