KANGAR: Seorang penjaga kolam ikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya pada November 2024 dan Februari tahun ini.
Tertuduh, Mohd Faizi Shaebun, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sesyen, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Faizi didakwa dengan sengaja telah merogol seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 12 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Tebuk, Simpang Empat, di sini, pada bulan November 2024.
Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Tebuk, Simpang Empat, di sini, pada bulan Februari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksyen Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po’ad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Widyaevasari Mohd Kanifiah.
Semasa prosiding, Nabilah memohon kepada mahkamah agar dapat membatalkan jaminan terhadap tertuduh.
Widyaevasari bagaimanapun meminta agar anak guamnya diberikan jaminan dan akan membuat aku janji untuk tinggal berasingan dengan keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki untuk tidak menggangu dan tinggal serumah bersama dengan mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April depan bagi serahan dokumen laporan perubatan.-UTUSAN