KAJANG: Menjelang seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, bapa kepada seorang banduan di Penjara Kajang bersyukur kerana anaknya terpilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani.
Tiada kata-kata yang dapat diungkap warga emas ini melainkan dapat melihat anak kedua daripada tiga beradik itu pulang menyambut lebaran bersama keluarga di sisi.
“Saya bersyukur kerana dapat berita gembira di hari baik dan bulan yang baik ini (Ramadan).
“Sejak awal pagi saya sudah tiba di penjara bagi menyambut kepulangan anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Penjara Kajang, hari ini.
Seramai 601 banduan dari 34 institusi penjara di seluruh Malaysia dipilih sebagai OBB menerusi program PBSL Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri.
Dia berharap, anaknya akan nekad berubah menjadi manusia yang lebih baik serta menjauhkan diri daripada najis dadah.
“Nasihat saya kepada anak muda, jagalah diri sebaiknya dan jangan terjebak dengan dadah. Sekarang ini, masalah sosial semakin berleluasa, kalau nasi sudah menjadi bubur lebih susah untuk dirawat,” kongsinya.
Sementara itu, anaknya yang hanya dikenali sebagai Idris, 36, berterima kasih kepada pihak penjara kerana mendapat peluang untuk keluar penjara lebih awal.
Kongsinya, pengalaman tiga kali keluar masuk penjara mengajar dirinya lebih berdisiplin serta menghargai nikmat kehidupan di luar.
“Sepatutnya tarikh keluar pada Mei ini, tetapi saya bersyukur kerana dapat PBSL, iaitu awal sebulan saya keluar penjara.
“Saya bersyukur kerana keluarga masih menerima diri ini. Kesilapan lampau tidak bermaksud kita tidak boleh berubah menjadi lebih baik,” katanya. – UTUSAN