KUALA LUMPUR: Seorang perekrut pekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul anak kandungnya yang berumur 4 tahun, awal bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, 34, sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ayah kandung telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 9.30 malam, 4 Mac lalu sehingga 5.30 pagi keesokan harinya di kediaman mereka di Jalan Gembira di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dibaca bersama di bawah Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau hukuman sebat tidak kurang dua kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memberikan syarat tambahan iaitu agar tertuduh tidak mendekati mangsa dan isterinya yang juga pengadu serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Chong Seng Ming merayu agar mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan penjamin yang juga bapa tertuduh merupakan seorang pesara guru.
“Ayah tertuduh telah memberi jaminan untuk mematuhi segala arahan mahkamah dan akan hadir pada semua tarikh yang ditetapkan. Penjamin juga akan membawa tertuduh untuk tinggal bersamanya di Sungai Petani, Kedah dan akan membuat pengawasan ketat terhadap pergerakan tertuduh,” kata peguam itu.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan sebagaimana yang dimohon oleh pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei ini. – UTUSAN