ALOR SETAR: Dua remaja maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas di Jalan Tanjung Bendahara, semalam, dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Zahir.
Mangsa Muhammad Dhani Arumi Mohd. Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd. Niza, masing-masing 18 tahun, maut selepas kereta dinaiki mereka berlima terbabas dalam nahas pada pukul 10.28 malam itu.
Bapa kepada Muhammad Danish Iqbal, Mohd. Niza Nazari, 49, berkata anaknya keluar kira-kira pukul 8.30 malam bersama rakan untuk menunaikan solat tarawih.
“Polis menghubungi saya pada pukul 1 pagi memaklumkan anak meninggal dunia. Saya berderau darah selepas diberitahu, kerana saya baru sahaja melalui kawasan itu kira-kira pukul 11 malam untuk membeli bihun sup dan melihat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.
Jenazah anak sulung daripada dua beradik itu akan dikebumikan di Masjid Derga selepas urusan bedah siasat selesai.
Ibu kepada Muhammad Dhani Arumi, Sharifah Nur Afzan Syed Abdul Rahman, 48, berkata anaknya keluar menunaikan solat tarawih bersama rakan menggunakan kereta, bukan motosikal seperti kebiasaannya dan sebelum keluar, Dhani memuji masakannya dan gembira ketika berbuka puasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima remaja itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan, merempuh tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas dan dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.
Manakala tiga lagi mangsa parah, dikeluarkan bomba dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Siti Nor Salawati berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kemalangan dan meminta saksi tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN