SEREMBAN: Seorang bapa dipenjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul anak kandungnya berusia 12 tahun dan memiliki video serta gambar lucah mangsa.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pekerja pendawaian selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi kesalahan mencabul dan empat sebatan bagi dua pertuduhan amang seksual yang berjalan dari tarikh tangkap iaitu 6 Mac 2025.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan ketika kejadian yang mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.
Kejadian itu masing-masing berlaku lebih kurang pukul 11.30 malam pada bulan Januari 2024 dan kira-kira jam 7.30 malam pada Mac tahun sama di sebuah rumah dekat Taman Desa Permai, Gemas, Tampin.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat manakala bagi Seksyen 16 Akta 792, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat tidak kurang dua sebatan.
Mengikut satu lagi pertuduhan, tertuduh didapati memiliki empat gambar dan empat video bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu mangsa sama di dalam telefon bimbitnya yang dirampas.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tampin, Tampin kira-kira pukul 8 malam 6 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 10 Akta 792 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000. – UTUSAN