ALOR SETAR: Seramai 13 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam masalah bankrap dikenakan tindakan disiplin dalam tempoh lima tahun ini sejak 2020.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara faktor warga bomba terjerumus dalam isu itu adalah disebabkan tindakan kepada syarikat yang pernah disertai mereka sebelum ini.
“Ada pegawai kita masa dia bujang dahulu letak nama dalam syarikat, bila syarikat ada masalah seperti tak bayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan diambil tindakan maka dia kena sekali.
“Keduanya disebabkan mereka menjadi penjamin orang lain yang membuat pinjaman dan ketiga kad kredit kepunyaaan diri sendiri, jadi keseluruhannya ada 13 orang yang telah kita kenakan tindakan disiplin dalam isu bankrap bagi tempoh lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat Bomba Kedah, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bahawa desakan untuk menunjuk status sosial antara punca ramai kakitangan awam semua peringkat membuat pinjaman kewangan berlebihan sehingga mereka bankrap.
Ujar Nor Hisham, trend keberhutangan teruk dalam kalangan warga bomba bagaimanapun menunjukkan penurunan iaitu berbanding 72 orang pada 2020 kepada kini 15 orang.
“Kita harap trend ini tak naik semula tetapi kalau tengok pada trend yang saya nyatakan itu memang kita kekang dengan memantau secara bulanan status gaji supaya jika ada ‘trigger’ kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.
Beliau turut menasihati pegawai dan anggotanya agar mengetahui had kemampuan mereka termasuk dalam konsep beli dahulu bayar kemudian (BNPL) yang semakin popular kini.
Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, seramai 19 pegawai dan anggota bomba diambil tindakan integriti dalaman kerana membuat ulasan atau komen keterlaluan di media sosial.
Katanya, termasuk dalam aspek politik, warga bomba harus bersifat terkecuali atau neutral dalam sebarang perkara disebabkan tertakluk kepada peraturan digariskan.
“Dalam 19 orang ini, ada yang kita keluarkan amaran sahaja tetapi ada juga yang hilang kelayakan untuk dipertimbangkan APC dan pingat selama enam bulan bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan mereka,” katanya. – UTUSAN