KUALA LUMPUR: Bank Rakyat meneruskan tradisi tahunan sempena Ramadan dengan mengagihkan 7,000 pek bubur lambuk Kampung Baru ke beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd. Shariff berkata, pengagihan bubur lambuk melibatkan 20 kawah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemarakkan keberkatan Ramadan serta berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.
Katanya, program itu juga seiring dengan tema “Hulurkan Salam” bagi Ramadan dan Syawal tahun ini, yang menekankan nilai perpaduan dan memperkukuhkan semangat kebersamaan antara Bank Rakyat dan komuniti.
“Kemungkinan untuk tahun depan, Bank Rakyat memperluaskan program sebegini dan akan meningkatkan lagi agihan pek bubur lambuk serta menambah juadah lain seperti dodol.
“Kami sentiasa berusaha untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti kebajikan dan inisiatif CSR.
“Kami juga percaya bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk mengeratkan jalinan ukhuwah dengan masyarakat yang menjadi tunjang kekuatan operasi kami selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum sesi agihan bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk 2025 di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Acara gotong-royong memasak 20 kawah bubur lambuk itu turut disertai Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak.
Agihan bermula pada pukul 12.30 tengah hari di beberapa lokasi utama termasuk pekarangan Menara Kembar Bank Rakyat, Ibu Pejabat Polis Daerah, balai bomba, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), masjid serta rumah anak-anak yatim di sekitar Lembah Klang. – UTUSAN