KLUANG: Sebanyak tujuh buah sekolah di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pasir Gudang ditutup hari ini selepas dinaiki air, manakala 47 lagi dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah yang ditutup masing-masing tiga di Johor Bahru dan Kota Tinggi serta sebuah di Pasir Gudang.
“Sehingga kini seramai 886 orang pelajar dilaporkan ditempatkan di PPS di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana, Simpang Renggam dekat sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, sekolah yang dijadikan PPS membabitkan Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Pasir Gudang.
“Bilangan sekolah dijadikan PPS merekodkan daerah Pontian paling tinggi, iaitu sebanyak 13 sekolah,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin memaklumkan, sesi pembelajaran di 20 buah sekolah terjejas akibat banjir, susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 10,629 orang daripada 3,169 keluarga di Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Johor Bahru dan Kulai ditempatkan di PPS. – UTUSAN