DUNGUN : Seorang pemuda mengalirkan air mata melihat kedai makan yang diusahakannya musnah dijilat api dalam kebakaran bangunan rumah kedai di Jalan Batu 49, di sini, hari ini.
Wan Akmall Izzat Wan Ahmad Kamal, 31, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, dia cuba memadamkan kebakaran berkenaan namun api semakin marak menyebabkannya terpaksa berhenti demi keselamatan nyawanya.
“Saya ambil air dan baldi untuk memadamkan kebakaran, namun api semakin marak dan ‘bergulung-gulung’,” katanya di lokasi kejadian.
Wan Akmall Izzat berkata, dia yang baru sahaja ingin bersahur dihubungi adik iparnya yang tinggal di deretan rumah kedai itu memaklumkan kejadian berkenaan.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan membantu mengusung bapa mentua yang tidak dapat berjalan kerana angin ahmar sebelum berusaha memadamkan kebakaran, namun gagal.
“Ujian ini terlalu berat buat saya. Segala usaha saya selama bertahun hangus sekelip mata. Banyak perabot, barangan elektrik serta mesin kopi yang tidak dapat diselamatkan,” katanya yang menganggarkan kerugian sebanyak RM120,000. – UTUSAN