PETALING JAYA: Warga kota mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebuh raya utama mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan, tengah malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pengguna memilih untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka memuncak menjelang penghujung Ramadan.
Malah, ada juga ingin mengambil kesempatan menikmati diskaun tol 50 peratus yang diberikan kerajaan bermula hari ini dan esok.
Bagi kebanyakan perantau, lebaran bukan sekadar perayaan biasa tetapi satu momen yang membawa kegembiraan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan selepas setahun berjauhan kerana komitmen kerja dan kehidupan di bandar.
Bagi pekerja swasta, Nurul Afiqah Zainal, 27, kepulangan ke kampung kali ini lebih bermakna kerana sudah hampir setahun tidak bersua muka dengan ahli keluarga di Batu Pahat, Johor.
“Saya memang tidak sabar hendak pulang beraya. Tahun lepas saya tidak dapat cuti panjang, jadi kali ini saya luangkan masa lebih lama bersama keluarga. Kebetulan ada diskaun tol, memang berbaloi untuk perjalanan jauh,” katanya.
Ibunya, Zaleha Ahmad, 55, yang sudah menunggu kepulangan anak-anak di kampung turut berkongsi keterujaan.
“Anak-anak semua kerja di bandar, jadi apabila dapat berkumpul waktu raya, memang sangat bermakna. Kami sudah siapkan rendang dan ketupat awal-awal,” katanya.
Dalam pada itu, juruteknik, Mohd. Razlan Ismail, 34, berkata, dia memilih untuk pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu selepas waktu bekerja bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
“Saya habis kerja pukul 10 malam, jadi saya terus bertolak. Biasanya waktu tengah malam lebih lancar, kurang kenderaan berat. Dengan adanya diskaun tol, sekurang-kurangnya dapat juga jimatkan perbelanjaan balik kampung,” katanya.
Rakan sekerjanya, Muhammad Syahmi Sofian, 32, turut berkongsi pendapat dan memilih strategi sama.
“Kami berbincang dan sepakat untuk bertolak lewat malam. Lagipun, dengan cuaca panas sekarang, memandu waktu malam lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Fadli Rahman, 40, berkata, insentif diskaun tol yang diberikan kerajaan amat membantu terutama bagi mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh.
“Saya balik ke Kota Bharu, Kelantan. Bila ada potongan 50 peratus ini, sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban perbelanjaan. Kalau boleh, insentif seperti ini diteruskan setiap tahun supaya lebih ramai rakyat dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Isteri Fadli, Siti Aishah Md. Noor, 38, pula berkata, penjimatan tol membolehkan mereka menggunakan lebihan wang untuk persiapan raya.
“Kami boleh gunakan duit lebih untuk beli kuih raya dan barang dapur di kampung. Semua harga barang naik sekarang, jadi insentif seperti ini memang membantu,” katanya.
Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, pengangkutan awam menjadi pilihan utama.
Penumpang bas, Siti Zulaikha Roslan, 30, berkata, dia lebih selesa menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Alor Setar, Kedah bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya.
“Saya beli tiket awal sebab takut habis. Biasanya bila dekat raya, harga tiket naik dan bas pun penuh. Mujur kali ini saya sempat dapat tiket dengan harga biasa.
“Tetapi memang nampak ramai yang pulang awal tahun ini, mungkin sebab insentif tol dan orang mahu elak kesesakan,” katanya. – UTUSAN