TIDAK ramai penyanyi Malaysia meniagakan lagu mereka di atas jaluran muzik jazz, kecuali yang biasa kita lihat seperti Datuk Sheila Majid, Noryn Jazz, Zee Avi dan Atilia.
Hakikatnya, memang sukar menyerap budaya komuniti Selatan Amerika Syarikat itu ke dalam pasaran Melayu.
Mengangkat genre itu dalam pasaran domestik sebagai satu perniagaan pula tidak akan mempunyai kelangsungan panjang kecuali mereka konsisten bernyanyi secara tertutup dan eksklusif untuk
acara kerabat diraja dan orang kenamaan.
Seorang lagi penyanyi masih memperjuang irama itu ialah bintang yang lahir daripada Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Farhan Azizan.
Bakatnya saya suka kerana tona vokalnya yang sesuai bernyanyi irama ini. Persembahannya di AF4
kekal dalam ingatan saya ketika dia menyanyikan Still Got The Blues (Gary Moore), Kopi Dangdut (Fahmi Shahab), Meniti Titian Usang, Emosi (Sheila Majid) dan Spain (Al-Jerreau).
Sejak tamat AF4, Farhan bergerak dalam langkah kecil sehingga kebanyakan orang menganggapnya sudah meninggalkan dunia nyanyian.
Tetapi, mereka yang mengikuti perjalanan seninya pasti tahu setiap undangan persembahannya lebih eksklusif dan tiada akses kepada orang awam.
Corak vokal Farhan sebenarnya boleh diangkat ke tahap lebih tinggi dan ada peluang besar berkembang ke peringkat antarabangsa.
Namun, industri muzik seolah- olah tidak melihat dan membenarkannya berkarya lebih jauh.
Jika diukur diskografinya 19 tahun lalu, dia tidak mempunyai produk benar-benar kuat untuk menyerlahkan bakatnya sebagai penyanyi jazz dan blues bersifat mainstream.