PETALING JAYA: Walaupun nampak tenang dan gembira di media sosial, isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz mengakui ada ketikanya dirinya menangis mengenang keputusan suami untuk berkahwin lagi.
Namun begitu, Nilam enggan bercerai dengan Azlan walaupun ramai yang menyarankan usahawan itu melakukan demikian.
“Anda tidak nampak sisi saya yang lemah dan menangis.
“Ramai yang suruh saya tinggalkan dia tapi saya tidak boleh. Saya sayangkan Azlan. Cara dia jaga saya daripada A sampai Z lain.
“Jadi, izinkan saya berjuang sampai ke akhir. Doakan saya,” kata menerusi sebuah video di aplikasi TikTok.
Nilam berkata demikian ketika memberi respons seorang pengguna yang memuji kesabarannya yang rela dimadukan.
Dalam hantaran berbeza, Nilam turut menceritakan dirinya sudah berlapang dada dengan keputusan suami dan enggan lagi bergaduh seperti usia muda.
“Beginilah kehidupan, kalau dulu memang kami asyik bergaduh, saya pula cepat naik hantu. Tapi lama-lama bila sudah meningkat usia, kalau mahu kahwin (lagi) lantaklah.
“Cuma semua benda saya tuntut. Jadi perempuan kena bijak. Dia mahu kahwin dua, sekarang semua benda kalau nak beli kena kali dua. Baru dia rasa, ingat senang dan beristeri dua?” katanya.
Terdahulu, Nilam mencuri tumpuan apabila memberi bayangan bahawa suaminya, Azlan Komeng sedang membuat persiapan untuk berkahwin lagi. -UTUSAN