Babak ‘Mat Pit’ relevan untuk hidupkan Baga - Utusan Malaysia

Babak ‘Mat Pit’ relevan untuk hidupkan Baga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengarah filem Baga, Ariff Zulkarnain, baru-baru ini meluahkan rasa bimbang seandainya naskhah arahannya itu terpaksa berdepan dengan pemotongan daripada pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Pemotongan itu bukan satu, tetapi dakwanya melibatkan 16 babak yang memaparkan adegan pengambilan dan penggunaan dadah.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ariff menjelaskan, pihaknya ralat seandainya pemotongan itu dilaksanakan secara mandatori kerana dikhuatiri akan menjejaskan perjalanan cerita khususnya daripada aspek kefahaman dan empati terhadap watak utama.

“Penggambaran filem ini telah bermula sejak Februari tahun lepas. Tetapi saya terpaksa memperlahankan kerja-kerja filem itu atas beberapa sebab.

“Dua bulan lepas juga saya ada hantar rayuan kepada pihak LPF supaya memberi kelonggaran kepada kami untuk mengekalkan beberapa babak yang sebelum ini diminta oleh mereka untuk dipotong.

“Terdapat 16 babak melibatkan dadah yang LPF minta kami potong. Tetapi saya mohon mereka pertimbangkan semula kerana ada beberapa babak yang saya sifatkan relevan untuk dikekalkan,”katanya.

Berkongsi lanjut, Ariff berkata, filem Baga pada dasarnya mengisahkan mengenai dua pasangan di Pantai Timur yang cuba menyelesaikan masalah namun dengan cara yang salah iaitu menerusi dadah.

Berikutan itu,Ariff menjelaskan, babak-babak melibatkan bahan terlarang itu dipaparkan termasuk gambaran individu menghisap dadah di dalam filem tersebut.

“Bagi saya, babak-babak itu relevan untuk dipaparkan. Sekian lama kalau kita buat filem bercerita mengenai dadah, kita diminta untuk sorok dadah itu, apa justifikasinya?

“Kononnya kakau dipaparkan terang-terangan, dibimbangi penonton boleh tiru atau belajar ambil dadah. Tak dinafikan saya memang gambarkan secara terperinci aktiviti itu yang dilakonkan oleh Amir Ahnaff sebagai bintang utama.

“Latihan ada dibuat cuma bukanlah dengan dadah betul, hanya ‘dummy’ sahaja. Cuma pembakaran dadah itu kita potretkan sama macam yang sebenar. Itu antara yang LPF minta potong,”ujarnya.

Jelas Ariff, sebagai sutradara filem ini, dia percaya bahawa babak itu perlu diadakan kerana satu daripada mesej utama dalam Baga adalah penekanan tentang bagaimana dadah itu mampu memusnahkan diri seseorang.

“Kita nak sampaikan mesej itu. Kalau dibuang 16 babak itu, orang tak akan dapat kesna empati terhadap watak utamanya yang mana dia ini merupakan seorang penagih yang cuba cari duit dengan menjual dadah.

“Kalau buang babak-babak itu, saya bimbang impak penceritaannya tidak sampai kepada penonton,”katanya.

Bagaimanapun, menurut Ariff lagi, terdapat beberapa babak lain yang dipersetujui untuk dibuang daripada filem itu terutama babak melibatkan pelajar dalam persalinan uniform sekolah.

“Saya juga ada paparkan pelajar sekolah beruniform pergi beli dan hisap dadah. Saya boleh buang babak itu tetapi realitinya, di Pantai Timur hari ini, kalau kita tengok laporan kerajaan Madani yang terbaharu, setiap 100,000 rakyat, sekurang-kurangnya 9,000 atau 10,000 wujud kes berkenaan dadah.

“Paling malang ia melibatkan golongan remaja. Saya paparkan pengambilan dadah jenis pil kuda dan bahan terlarang ini adalah yang paling banyak diambil oleh golongan remaja, termasuk nelayan, pengawal keselamatan dan pekerja buruh.

“Kalau diklasifikasikan, golongan B40. Pendapatan mereka rata-rata kurang, kemudian terlibat ambil dadah pula. Kesudahannya, mereka hidup untuk membeli dadah.

“Jadi atas kesedaran itu, daripada pemantauan saya sebagai anak Pantai Timur dan membesar di persekitaran itu, rasanya tanggungjawab saya untuk buat cerita ini,”ujarnya.

Dalam pada itu, tegas Ariff, hasratnya meluahkan perkara ini bukanlah untuk mempersoalkan kredibiliti pihak LPF.

Baginya, penubuhan badan tersebut sememangnya satu keperluan buat negara terutama dalam memberi panduan kepada setiap pembikin filem dan pengkarya seni untuk menghasilkan sesebuah naskhah mengikut syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, kata Ariff, dalam isu yang cuba dia ketengahkan, pihaknya amat berharap supaya LPF dapat mempertimbangkan rayuannya berhubung pemotongan 16 babak dalam filem Baga.

“Buat masa ini juga kami tidak bercadang untuk membuat penggambaran semula filem berkenaan. Maklum juga kami ini bukan filem yang dibikin oleh studio contohnya Astro Shaw atau Prime Work.

“Saya bersama Syafiq Kyle dan Syafiq Yusof mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk Baga dan ini adalah sebuah filem indipendent.

“Kalau pemotongan itu mandatori, memang kami berdepan dengan kerugianlah. Anggarannya lebih kurang RM500,000,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya