‘Bab ibadah, saya malu nak tunjuk’ - Utusan Malaysia

‘Bab ibadah, saya malu nak tunjuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih kurang lima tahun melakukan penghijrahan daripada seorang selebriti yang tidak bertudung menjadi seorang individu yang memilih imej muslimah sebagai imej diri, Izara Aishah, adalah antara contoh artis tempatan yang banyak meraih pujian daripada transformasi menyejukkan mata itu.

Tampak selesa dengan penampilan lebih menutup aurat, ramai juga memuji bahawa kejelitaan pelakon kelahiran negeri Johor ini begitu menawan.

Malah, setiap kali kelibatnya kelihatan di majlis-majlis keramaian, Izara gagal meraih kritikan kerana pada setiap kalinya, pesona wanita cantik menutup aurat yang dimilikinya itu sentiasa meniti di bibir setiap mata yang memandang.

Selain penampilan, tentu sahaja ramai begitu mendambakan Izara untuk menyelami perasaannya sebagai seorang muslimah sejati kerana tidak dapat dinafikan, ada sahaja golongan artis lain yang bertudung, tetapi gagal membulat tekad untuk selamanya kekal menjadi wanita solehah.

Bagaimanapun, jika ditanya pada Izara mengenai sejauh mana istiqamahnya dia dalam menjaga penampilannya sebagai seorang wanita muslimah, pelakon ini sukar memberikan jawapan.

Bahkan, baginya jika menyebut tentang sekuat mana dirinya melakukan ibadah pun,apalagi di bulan Ramadan penuh berkat ini, Izara lebih selesa untuk kekal merendah diri dan tidak mahu mencanang-canangkannya.

“Kalau ditanya pasal perancangan pada bulan Ramadan ini, saya tidaklah ada apa sangat. Saya lebih selesa katakan yang saya akan cuba perbaiki diri dan dekatkan diri lagi denganNya sebab ini pun bulan yang mulia.

“Namun apa benda yang saya nak buat itu, saya lebih suka untuk simpan sahaja untuk diri sendiri.

“Saya malu nak kongsikan sebab nanti orang kata ‘oh dia ni hendak menunjuk pula’. Jadi saya takut jadi macam itu. Tetapi ada jugalah kelas-kelas agama yang saya ikuti juga,”katanya.

Izara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Petra Lebaran 2025 di Pavilion Damansara Heights baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia ada mengikuti kelas agama sebagaimana yang rajin dianjurkan oleh rakan artis seperti Betty Rahmat, Izara bagaimanapun mengakui masih belum ada kesempatan itu.

Pun begitu, katanya, pada kebiasaannya, dia gemar mengikuti kelas agama di bawah bimbingan Ustaz Wadi.

Sementara itu, ditanya mengenai bagaimana perasaannya apabila melihat ramai juga rakan-rakan artis wanita yang kini berpenampilan muslimah dan berhijab, Izara mengakui dia turut menumpang gembira dengan perubahan baik yang dilakukan mereka.

“Alhamdulillah, saya sudah tentu turut berasa gembira dengan mereka. Semoga terus istiqamah dan semoga Allah SWT menerima segala ibadah,”ujarnya sambil tersenyum.

Kembali aktif berlakon

Dalam pada itu, mengajaknya berbual mengenai kerjaya lakonan, dia yang kini memperlihatkan semangatnya untuk kembali aktif berlakon ternyata sangat berbesar hati apabila ramai kalangan peminat memuji mutu lakonannya menerusi drama terbaharu berjudul Keluarga Itu.

Merupakan sebuah naskhah garapan air tangan sutradara hebat tanah air, Erma Fatima, kata Izara, dia tidak berfikir lama untuk menerima tawaran lakonan itu kerana Erma sendiri.

“Saya sebenarnya sebelum ini kalau berlakon pun, begitu-begitu sahaja, tak reti sangat. Sekarang ini bila masuk set dah bukan tahap pelakon kayu dah, mungkin pelakon ‘batu’.

“Saya sangat berharap dapat memberi persembahan terbaik di mata penonton dan dapat diterima ramai. Iyalah, saya berehat dari berlakon sudah lima tahun juga.

“Satu sebab yang saya yakin ialah kerana pelakon-pelakon lain sangat membantu dalam drama tersebut.Kita ada Umie Aida, Rosyam Nor, Puteri Balqish, semua yang hebat,”katanya.

Ditanya adakah sukar buat dirinya membuka hati untuk kembali masuk ke set penggambaran setelah agak lama berhiatus, Izara mengakui tidak berasa kekok.

“Sebenarnya tak susah pun untuk saya. Sebab saya tak pernah berhenti, saya masih berlakon. Cuma naskhah-naskhah yang diterima semuanya tak sesuai dengan keadaan dan karektor.

“Saya pun tak mahu menyusahkan produksi sebab saya ada macam-macam permintaan sebelum terima tawaran. Sebelum pakai tudung dah ada macam-macam dah, ini dah pakai tudung pun ada macam-macam permintaan.

“Tetapi Kak Erma berikan cerita ini kepada saya dan sesuai dengan saya. Dia juga Alhamdulillah, dapat memenuhi permintaan saya,”katanya.

Izara berkata lagi, dia juga berbangga dengan pendatang baharu dalam bidang seni terutama rakan artis yang bergandingan dengannya dalam dram ini.

Merujuk kepada Muaz Zabir, kata Izara, sepanjang penggambaran, aktor itu memberikan persembahan yang baik dan tidak membawa masalah.

“Setakat ini saya tengok okey sahaja, tiada masalah. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya dapat berlakon dengan orang-orang yang hebat,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya