Azeez Rahim cerai isteri kedua talak satu

Azeez Rahim cerai isteri kedua talak satu

ABDUL AZEEZ Rahim (dua dari kanan) bersama Marina Mohamed (kiri) keluar dari dewan mahkamah selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sah bercerai dengan isteri keduanya, Marina Mohamed dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.

Difahamkan, Marina merupakan peguam mewakili bekas Ahli Parlimen Baling itu dalam prosiding permohonan kerajaan untuk melucut hak wang hampir RM16 juta daripada akaun peribadi Tabung Haji (TH) milik isteri Abdul Azeez, Datin Khadijah Mohd. Noor dan empat anak mereka serta satu lot kedai di Bandar Sunway.

Bagaimanapun, permohonan itu ditarik balik oleh kerajaan, tiga tahun lalu.

Lafaz cerai dibuat di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

Abdul Azeez memfailkan permohonan cerai terhadap Marina pada 9 Disember 2024.

Antara alasan yang dinyatakan adalah tiada lagi perasaan kasih sayang, tiada persefahaman dan wujud perbalahan dalam rumah tangga.

Permohonan cerai itu dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan kebenaran mahkamah.

Pasangan itu berkahwin pada 11 September 2019 di Bachok, Kelantan dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Selepas hampir satu jam, Abdul Azeez, 66, dilihat keluar dari dewan mahkamah diikuti peguam dan beberapa individu lain sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.

Marina, 50, juga keluar dari dewan sejurus selepas itu dan dilihat berpegangan tangan dengan seorang wanita dalam keadaan bergenang air mata.

Pada prosiding hari ini, Abdul Azeez diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain@Zakaria manakala Marina diwakili peguam syarie, Azmi Rais.

Sementara itu, Mohd. Zaidi ketika ditemui memaklumkan, pasangan itu bercerai dengan talak satu selepas mendapat kebenaran mahkamah.

“Kebenaran (untuk lafaz cerai) dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang menyatakan pasangan telah mengalami ‘shiqaq’ (perbalahan berpanjangan) yang tidak dapat didamaikan.

“Perceraian berlaku secara baik dan anak guam telah melafazkan talak satu hari ini. Ditekankan ini (Marina) adalah isteri kedua,” kata Mohd. Zaidi.

Azmi yang mewakili Marina turut mengesahkan perkara sama.

“Hari ini adalah sebutan kali kedua permohonan cerai bagi mendengar keputusan JKP dan mahkamah mendapati JKP gagal. Mahkamah telah menasihati plaintif (Abdul Azeez) untuk melafazkan cerai dan beliau lafazkan.

“Pada dasarnya, anak guam saya (Marina) tidak bersetuju untuk bercerai tetapi selepas perjumpaan JKP, mendapati memang tidak boleh (wujud) perdamaian,” kata Azmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN