KUALA TERENGGANU: Seramai 414 atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan 57 atlet Para Sukma Edisi Ke-21 di Sarawak tahun lepas mendapat ‘durian runtuh’ apabila menerima insentif RM1,082,000 daripada kerajaan negeri menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Atlet yang memenangi pingat emas menerima ganjaran sebanyak RM3,000, pingat perak RM2,000 dan gangsa RM1,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyalurkan insentif kemenangan yang sama untuk pingat emas, perak dan gangsa kepada atlet Sukma dan Para Sukma pada edisi kali ini bagi mengiktiraf jasa mereka.
“Pemberian insentif terbesar melibatkan atlet sukan berbasikal yang menyumbang lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa iaitu sebanyak RM112,000,” katanya pada Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu Sukma dan Para Sukma Edisi Ke-21 Sarawak 2024.
Jumlah keseluruhan atlet bagi kontijen Sukma Terengganu adalah seramai 568 orang dan menyertai sebanyak 36 daripada 37 jenis sukan yang ditandingi.
Pada temasya Sukma 2024 lalu, Terengganu menduduki tempat kelima di belakang Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang dengan kutipan 41 pingat emas, perak (36 pingat) dan gangsa (47).
Sementara itu, Para Sukma Terengganu pula di tempat kesembilan dengan kutipan 10 emas, perak (19 pingat) dan gangsa (15 pingat). – UTUSAN