KUALA LUMPUR: Astro merai kehadiran Ramadan dengan penganjuran ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ di tiga lokasi iaitu Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan), Masjid Murtadha Dakwah Centre MADAD (Kedah) dan Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan) dari 1 Februari hingga 14 Februari.
Acara dimeriahkan lebih 10, 000 pengunjung di ketiga-tiga lokasi bersama selebriti, personaliti radio, rakan media dan komuniti setempat.
Enam duta Ramadan Raya Astro pada tahun ini, termasuk duta Astro Oasis turut memeriahkan setiap lokasi dengan memperkenalkan lebih 70 kandungan baharu yang bakal ditayangkan di Astro sepanjang Ramadan ini menerusi platform televisyen, digital dan radio.
Bertemakan ‘Meriah Lain Macam’ pada edisi Ramadan Raya pada tahun ini, Astro mengambil inisiatif melakukan aktiviti yang mampu merapatkan ikatan persaudaraan sesama masyarakat Islam seperti agihan makanan kepada komuniti setempat, sesi ramah mesra bersama barisan selebriti, pertandingan mewarna, tulisan khat, memanah, cabutan bertuah serta persembahan penyanyi jemputan.
Lokasi pertama jelajah di Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan) menyaksikan hampir 3,000 pengunjung hadir mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti berteraskan tradisi dan budaya. Acara ini menghimpunkan selebriti seperti Sherry Alhadad, Zizan Razak, Nadhir Nasar dan Meerqeen selaku duta Ramadan Raya Astro 2025, bersama Keanu Azman, Azqa Aziz dan Jay Iskandar dalam aktiviti merewang dan ‘Mantai Bersama-sama’ dengan pengunjung.
Kemeriahan diteruskan dengan persembahan Mawi dan kumpulan UNIC, yang menyajikan lagu-lagu bermakna berkonsepkan ketuhanan. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Astro, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Lokasi kedua pula membawa kemeriahan ke Kedah untuk ‘Berkongsi Rezeki’ bersama hampir 8,000 penduduk setempat. Selain agihan bubur lambuk, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan lagu kerohanian oleh Putera Muhammad dan Rabbani.
Ia turut menampilkan rakaman eksklusif ‘Tazkirah Malam Jumaat’, yang dihadiri oleh Alif Satar dan barisan pendakwah terkenal seperti Ustaz Fakhrul Radhi, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Ustaz Rozie Rejab dan PU Amin. Jelajah ini melabuhkan tirainya di Kelantan dengan aktiviti istimewa ‘Battle KAFA: Geng D.U.I.T Challenge’, yang mengangkat konsep kebersamaan dan keluarga. Pertandingan ini menguji kanak-kanak dengan soalan berkaitan Perkara Asas Fardhu Ain, termasuk ibadah, Al-Quran, sirah dan hafazan, di mana empat pasukan bersaing merebut gelaran juara KAFA Cup.
Sebanyak 300 pek prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan kurma diagihkan di tiga lokasi jelajah bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya menjelang Ramadan.
Astro Kasih turut menyumbangkan 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah menerusi program ‘Kembali ke Sekolah’, memberi peluang kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih semangat.
Untuk makluman, bantuan masih boleh disumbangkan melalui akaun RHB Bank Berhad, Yayasan Astro Kasih di nombor 21412900254230.
Sempena Ramadan dan Raya tahun ini, Astro One membawakan lebih banyak keriangan dengan kempen ‘Langgan dan Menang Macam-Macam’, menawarkan hadiah menarik bernilai sehingga RM200,000!
Dari 1 Februari hingga 26 April, para pelanggan yang melanggan Astro One di outlet terpilih di Seremban, Sungai Petani, dan Kota Bharu berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa melalui mesin Gachapon, termasuk televisyen, telefon bimbit, baucar membeli-belah, perkakas dapur, kurma dan banyak lagi.
Pelanggan sedia ada juga boleh menyertai kempen ini dengan menaik taraf kepada pakej Astro One atau menambah Astro Fibre. Bermula 14 Februari, kempen ini diperluaskan ke seluruh negara melalui kedai Astro, kiosk premium, trak, gerai terpilih dan dalam talian.-UTUSAN