POKLIP baru-baru ini berkesempatan bermoreh dengan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.
Banyak juga kami berborak tentang industri seni. Selain menyantuni rakan media yang hadir, Shamsul juga berkongsi pandangan dan pendapat menerusi sesi soal jawab yang diadakan secara santai sahaja.
Nama pun bermoreh kan, tidak mungkin terlalu serius. Tetapi Poklip cukup tertarik dengan salah satu topik yang kami sempat bincangkan, penglibatan artis dalam dunia politik.
Bukan perkara baharu, tetapi jika hendak dibandingkan dengan negara luar, ‘sinergi’ antara dunia seni dan politik kita belum ‘menyinar’ hebat.
Benar, kita ada beberapa nama anak seni yang Poklip kira sudah selesa di kedudukan sebagai wakil rakyat. Dira Abu Zahar yang dahulunya pelakon kini bergelar, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Melaka.
Komposer dan penyanyi, Altimet juga berjaya memenangi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dengan majoriti 6,678. Satu pencapaian yang boleh dikatakan hebat.
Ada juga beberapa nama anak seni lain yang pernah bertanding mahupun meluahkan hasrat serta menunjukkan minat mendalam dalam dunia politik. Sebagai contoh Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro.
Sebenarnya, penglibatan artis luar negara dalam dunia politik lebih terbuka berbanding anak seni tempatan. Mungkin ada kalangan anak seni yang risau dengan penerimaan khalayak terhadap keseriusan mereka.
Mana tidaknya, ada segelintir peminat yang masih berada di takuk lama, menganggap dunia seni ini sebagai satu hiburan semata-mata. Maksudnya, semuanya hanya perlu kelihatan cantik, menghiburkan di kaca TV.
Tidak ya, sebenarnya artis kita ramai sahaja yang bijak-bijak. Biarpun mungkin ada kala kontroversi mencalit warna di diari seni mereka, tetapi tidak semestinya mereka tidak boleh ber kir rasional. Maka tidaklah molek untuk kita pukul rata semua.
Memang wujud golongan selebriti yang cakap pun melalut, entah betul atau tidak, tetapi ada juga ahli politik yang berperangai sedemikian kan? Sebab itu dunia politik dan hiburan tak jauh sangat pun bezanya.
Lihat sahaja kehebatan penyanyi, Krisdayanti di pentas politik. Poklip memang kagum dengan cara dia mengendali karismanya dalam dunia politik yang tidak kurang glamor seperti di pentas gemerlapan.
Kalau tengok sambutan penyokong setiap kali Krisdayanti turun padang, memang gila. Cari sahaja buktinya di media sosial. Sudah macam buat konsert tetapi sebenarnya berkempen politik. Rasanya mungkin kita sudah perlu buang stigma artis tidak boleh bergelar ahli politik.
Jika serius dalam dunia politik, tugas sebagai artis perlu dilupakan segera itu tidak patut sama sekali. Memang tugas sebagai wakil rakyat ini padat, tetapi apa salahnya melunaskan kerinduan peminat menerusi kolaborasi lakonan atau nyanyian.
Tetapi paling penting kena jaga nama baik. Poklip terfikir, sekiranya ada seorang artis yang Poklip mahu lihat berdiri sebagai ahli politik, mungkin nama Datuk Seri Siti Nurhaliza antara calonnya. Bagaimana dia mulakan kempen, ‘Malaysia, adakah anda sudah bersedia? Ayuh, kita mulakan!’