PETALING JAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyatakan komitmen melaksanakan arahan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan paparan harga ubat di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini, namun akan dilakukan secara berperingkat.
Presiden APHM, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan mekanisme terbaik bagi melaksanakan arahan tersebut kepada pesakit luar dan pesakit dalam.
“Kita bersetuju untuk melaksanakannya kepada pesakit luar tetapi APHM masih menunggu pencerahan daripada KKM untuk mekanisme pelaksanaan kepada pesakit dalam kerana ia tidak praktikal dalam konteks hospital swasta.
“Untuk pesakit luar, kami bersetuju untuk memaparkan harga ubat, tetapi untuk pesakit dalam, kami memerlukan penjelasan lanjut kerana situasinya berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini, selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Dzulkefly dilaporkan berkata, kerajaan bersedia menanggung kos yang berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan paparan harga ubat, malah perubahan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan sokongan daripada pihak berwajib seperti Majlis Farmasi Malaysia (MFI).
Sementara itu, klinik-klinik swasta kekal membantah cadangan berkenaan berikutan tidak rasional dan boleh memberi kesan negatif kepada industri.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, paparan harga ubat boleh menimbulkan persaingan tidak sihat seperti perang harga dalam kalangan klinik-klinik swasta.
Katanya, pesakit mungkin hanya melihat harga ubat, tetapi mereka tidak akan tahu kos akhir yang perlu dibayar.
“Ia menyebabkan perang harga dalam kalangan klinik swasta yang mengakibatkan penurunan harga ubat yang tidak berpatutan, sementara kos pemeriksaan makmal dan prosedur mungkin akan meningkat,” katanya. – UTUSAN