PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk meneruskan persengketaan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim selepas menarik semula kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, keputusan itu dibuat atas semangat Ramadan yang menyeru umat Islam untuk menghindari perbuatan fitnah dan menanam nilai kemaafan.
Katanya, Perdana Menteri mengingatkan bahawa menuduh tanpa asas bukan sahaja menzalimi individu yang dituduh malah membawa kesan buruk kepada pihak yang membuat fitnah.
“Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, amalan sebegini mesti dihentikan dan tidak dibudayakan, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang mengaku sebagai pejuang Islam,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tambahnya, Anwar turut menegaskan bahawa memaafkan bukan tanda kelemahan, sebaliknya ia mengangkat martabat seseorang di sisi Tuhan.
“Beliau menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai peluang untuk kembali kepada fitrah, menghidupkan budaya wacana yang matang dan menolak budaya fitnah yang merosakkan masyarakat,” katanya.
Kelmarin, Anwar dan Ahmad Amzad mencapai penyelesaian luar mahkamah dalam saman fitnah yang difailkan oleh Anwar terhadap wakil rakyat itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi tindakan sivil tersebut apabila Anwar menarik balik saman fitnah yang difailkan pada 22 Disember 2022 tanpa sebarang kos.
Manakala Ahmad Amzad pula menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya pada 7 Disember 2022 untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka.
Saman sivil itu berkaitan dakwaan Anwar berbohong mengenai hanya menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor. – UTUSAN