Anwar puji Wisma Putra, prestasi membanggakan dalam ASEAN

Anwar puji Wisma Putra, prestasi membanggakan dalam ASEAN

ANWAR Ibrahim diiringi Mohamad Hasan bersalaman dengan delegasi asing ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi ditunjukkan Wisma Putra khususnya sebagai penghubung penting dalam ASEAN.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami bahawa Wisma Putra kini menggalas tugas lebih besar berbanding tahun sebelumnya.

“Ia (prestasi) dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan walaupun dibebankan tugas lebih besar berbanding tahun sebelum ini.

“Menerusi pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan keluar negara ASEAN terutama di beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan.

“Saya lihat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan betul-betul komited dengan tugasnya kerana beliau jarang ada dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Luar di sini, hari ini.

Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad dan warga Wisma Putra kerana menganjurkan majlis berbuka puasa ini walaupun difahamkan baru pulang dari Arab Saudi.

Sementara itu, Anwar juga mengingatkan rakyat supaya merasai penderitaan dialami masyarakat Islam di negara bergolak terutama dalam menjalani ibadah puasa.

“Selama berabad-abad, kita semua makan tetapi kadang-kadang kita tidak peduli jika jiran kita tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

“Kita di sini berbuka puasa tetapi kita kadang-kadang tidak peduli. Sudah tentu bukan hanya peduli dengan rakyat di Gaza sahaja tapi umat Islam yang terdekat dengan kita. Ini ialah cabaran bagi kita dalam memaknai Ramadan yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 hadir memeriahkan majlis berbuka puasa itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, duta besar asing, pesuruhjaya tinggi dan warga Wisma Putra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya