PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada isteri seorang nelayan yang hidup dalam serba kekurangan dan terjejas pendapatan sempena program Ziarah Madani, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Saluna Mat Jusoh di Kampung Cherating, Kuantan.
Ahmad Farhan berkata, suami Saluna bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Bagaimanapun, Ahmad Farhan berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan beliau untuk turun ke laut mencari rezeki.
“Saya dimaklumkan oleh Pegawai Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota mengenai keadaan rumah mereka yang sangat daif – atap bocor, dinding semakin mereput dan dapur yang serba kekurangan.
“Rumah yang sepatutnya menjadi tempat berteduh kini tidak lagi selesa untuk mereka sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Farhan, sumbangan yang diberikan diharapkan dapat membantu Saluna dan keluarganya membaik pulih kediaman mereka agar lebih selamat dan selesa untuk didiami.
“Selain itu, saya turut menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri untuk Encik Hasim dan isterinya.
“Besar harapan kami agar bantuan ini dapat meringankan beban mereka, walaupun sedikit. Dalam negara Madani, setiap rakyat berhak untuk hidup dengan lebih selesa dan bermaruah,” katanya.-UTUSAN