PETALING JAYA: Penyanyi, Suki Low tampil melancarkan lagu raya terbaharu yang berjudul, Anugerah Hati hasil kerjasama dengan IDEAS Autism Centre (IAC).
Tampil berganding bersama kumpulan budaya Alun Tradisi, lagu tersebut telah didedikasikan sempena kempen meningkatkan kesedaran tentang autisme sebagai inisiatif untuk mengajak masyarakat meraikan kepelbagaian, memupuk pemahaman, dan merangkul kasih sayang.
“Saya berbesar hati untuk mempersembahkan Anugerah Hati, sebuah lagu yang didedikasikan kepada kanak-kanak dengan autisme dan kepelbagaian yang kita boleh cipta bersama.
“Muzik melampaui batasan bangsa, kepercayaan, serta latar belakang, dan lagu ini adalah rayuan mesra saya serta satu permohonan ringan untuk kita mendengar dengan kasih sayang, mencintai dengan lebih mendalam, dan membina dunia di mana cahaya setiap anak bersinar terang dan bebas,” kata Suki dalam sebuah kenyataan.
Tambah Suki, dia turut memilih elemen Joget dalam lagu raya tersebut demi meraikan kehidupan serta ketabahan kanak-kanak autistik.
“Saya berharap ini menjadi lagu Raya yang abadi, yang menghormati tradisi kita sambil merangkul kemajuan.
“Raya kali ini, mari kita bergerak lebih daripada sekadar tradisi, mari kita perjuangkan keterangkuman, menggantikan keheningan dengan lagu, dan menukar pengecualian menjadi penerimaan,” katanya lagi.
Difahamkan, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz turut mencemar duli untuk membuat penampilan khas menerusi video muzik tersebut.
Menurut Mazrina Arifin selaku Pengarah IAC, mereka turut mengalu-alukan inisiatif Suki yang sudi bekerjasama bagi membangkitkan kesedaran melalui muzik untuk mencipta impak yang berpanjangan dalam komuniti.
“Anugerah Hati sangat bermakna bagi kami. Dengan mengangkat senyuman dan suara anak-anak serta guru-guru kami, kami berharap dapat menginspirasi Malaysia yang lebih inklusif dan penuh kasih sayang.
“Setiap sumbangan, besar atau kecil, membantu kami untuk menaja terapi, melatih pakar, dan memperluaskan jangkauan kami kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan,” jelasnya.
Lagu Anugerah Hati boleh didengar menerusi platform penstriman Spotify. Manakala, muzik video lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Suki Low. -UTUSAN