PETALING JAYA: Kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak adalah akibat trauma tumpul pada dada (Blunt Trauma To The Chest Contusio Cordis).
Menerusi kenyataan, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia berkata, mangsa iaitu Prebet Muhammad Muqriz Aseri berusia 21 tahun meninggal dunia selepas hentakan kuat di bahagian dada dan menyebabkan kerosakan pada jantung.
Jelas kenyataan itu, siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.
“Justeru, TDM telah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut dan turut menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini.
“Jenazah telah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan telah selamat dikebumikan pada malam tadi di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 11.55 malam,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini dan memastikan TDM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, ia bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah dalam insiden ini.
“TDM juga berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“PTD turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bertabah dengan kehilangan ini,” – UTUSAN