Anggota polis terima rasuah RM500 didenda RM3,000

Anggota polis terima rasuah RM500 didenda RM3,000

MOHD. Suffian Kamis (kanan) dibawa keluar setelah menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM500 di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini setelah mengaku bersalah menerima rasuah RM500, empat tahun lalu. 

Mohd. Suffian Kamis, 38, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan pilihan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Suffian yang ketika itu berpangkat Koperal Sokongan Polis di Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Setar menerima RM500 daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan tersebut dilakukan di hadapan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah di sini, pada 6 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima wang RM500 itu tanpa balasan daripada lelaki berusia 39 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Berbahaya 1952.

Terdahulu, ketika prosiding tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan tidak dipenjarakan kerana mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja serta empat anak yang masih bersekolah.

Mohd. Zulfadli bagaimanapun meminta hukuman setimpal memandangkan ia melibatkan penjawat awam yang diberikan kepercayaan untuk memikul tangungjawabnya. Tertuduh membayar wang denda itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya