KUALA KRAI: Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang parah akibat dirodok gading seekor gajah di Kampung Laloh di sini semalam berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan di bahagian paha kanan.
Mangsa, Mohd. Doral Ibrahim, 40, ketika ini ditempatkan di wad ortopedik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini untuk menjalani pembedahan.
Isteri mangsa, Nur Ain Fatimah Ariffin, 32, berkata, suaminya stabil dan perlu banyak berehat selepas belakang paha kanannya mengalami kecederaan sebesar 7.6 sentimeter (cm) dengan kedalaman 17.7 cm.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari semasa pulang mengambil anak dari sekolah.
“Dia sendiri yang menghubungi saya sebelum memaklumkan kecederaan pada kakinya akibat diserang semasa mengekori seekor gajah liar. Suami masuk ke kawasan kebun itu bersama dua lagi anggota Perhilitan selepas haiwan liar berkenaan menyerang seorang wanita warga emas.
“Mereka menaiki sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux ke kawasan itu. Semasa tiba di kebun getah, suami berpecah dengan rakan-rakannya sebelum terserempak dengan gajah liar dalam keadaan hujan renyai-renyai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nur Ain Fatimah memberitahu, suaminya tidak perasan gajah itu menghampirinya sebelum bahagian kepala dan belalai haiwan tersebut merempuh mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh.
Katanya, suaminya cuba menyelamatkan diri, namun gajah itu bertindak memijak kaki sebelum gadingnya merodok bahagian paha kanan.
“Difahamkan rakan suami saya sempat melepaskan tembakan ubat pelali beberapa kali, tetapi gajah itu sempat melarikan diri. Gajah itu dikatakan telah menyeberang jalan dan masuk ke kawasan hutan,” ujarnya.
Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas cedera parah selepas dipercayai dirodok gading seekor gajah sebelum dipijak haiwan tersebut dalam kejadian di Kampung Laloh di sini semalam.-UTUSAN