PETALING JAYA: Datuk Dr. Anesee Ibrahim memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Anesse yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu menggantikan Datuk Seri Dr. Zaini Ujang yang bersara wajib pada 3 Mac lalu.
KPT berkata, Anesse merupakan kelulusan Doktor Falsafah daripada Durham University, United Kingdom dan turut merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1994 sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), beliau pernah bertugas di beberapa jabatan dan Kementerian antaranya JPA serta Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, beliau juga turut pernah bertugas sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Perancis.
“Anesee berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam serta sektor pendidikan dan diharap dengan pelantikan beliau dapat memperkukuhkan lagi agenda pembangunan pendidikan tinggi.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani dalam memastikan sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan media.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan tujuh perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam
Beliau berkata perubahan penempatan berkuat kuasa hari ini, melibatkan lima Ketua Setiausaha Kementerian dan masing-masing seorang Ketua Pengarah serta Ketua Setiausaha Sulit. – UTUSAN