SEPANG: Satu ancaman keselamatan siber yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dikesan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 23 Mac lalu.
Dalam kenyataan bersama Malaysia Airports dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memaklumkan, siasatan menyeluruh segera dijalankan bagi menilai punca dan tahap insiden berkenaan.
Katanya, pihak berkuasa berkaitan termasuk NACSA dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga telah dimaklumkan serta-merta.
Ketua Eksekutif NACSA, Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, pihaknya telah memantau perkembangan isu itu dengan teliti sejak menerima laporan daripada Malaysia Airports.
“Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi di KLIA dan kami akan terus memantau keadaan serta memberikan sokongan kepada Malaysia Airports,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani memberi jaminan bahawa keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang kekal menjadi keutamaan.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan strategik di lapangan terbang bagi memastikan semua operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang berjalan seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, pasukan teknikal dan operasi juga terus memantau situasi serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi infrastruktur lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu.
Keselamatan, sekuriti serta integriti sistem lapangan terbang tetap menjadi keutamaan tertinggi Malaysia Airports dalam menghadapi ancaman ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa sistem MAHB diserang penggodam yang menuntut AS$10 juta untuk dilepaskan.
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan bahawa beliau tanpa berfikir panjang menolak untuk tunduk kepada tuntutan pihak tersebut.
Semalam, bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dalam satu catatan di X mempersoalkan jika MAHB menjadi mangsa serangan siber yang mendakwa ada gangguan dalam sistem di KLIA dan KLIA2.
Difahamkan paparan maklumat penerbangan adalah antara yang terjejas dan maklumat ketibaan dan paparan tersebut dikemas kini secara manual pada papan putih.
Wee mendakwa kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi turut terjejas semasa gangguan 10 jam yang dilaporkan tersebut. – UTUSAN