PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta enam wanita berjaya mencapai kata sepakat berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara.
Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar memaklumkan perkara itu kepada panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Turut bersidang adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
“Beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara pihak-pihak sejak prosiding terakhir. Pihak-pihak kini telah mencapai persetujuan dan kami mohon supaya mahkamah merekodkan perintah persetujuan.
“Dengan perintah persetujuan ini juga, perayu ingin menarik kembali rayuan tanpa sebarang perintah berhubung kos,” kata peguam itu.
Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mengesahkan perkara tersebut dan turut menyatakan sekiranya terdapat perbezaan dalam perjanjian persetujuan di antara versi bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, versi bahasa kebangsaan akan dianggap sebagai versi sah.
Berdasarkan perintah persetujuan yang dilihat oleh media, antara terma yang dipersetujui ialah mana-mana kanak-kanak berusia bawah 18 tahun di luar negara kepada ibu warga negara Malaysia tetapi bapa bukan warganegara boleh memohon kewarganegaraan Malaysia mengikut Perkara 15)2) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, setiap permohonan adalah tertakluk Perkara 26(1) Perlembagaan Persekutuan dan pematuhan tatacara serta dokumen sokongan yang diperlukan sebelum kanak-kanak tersebut boleh didaftarkan sebagai warganegara.
Pada 5 Ogos 2022, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam penghakiman mereka memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’.
Jelas mereka, duluan (precedent) oleh mahkamah tertinggi sebelum ini telah memutuskan bahawa kewarganegaraan seseorang kanak-kanak adalah mengikut kewarganegaraan bapa dan bukannya ibu.
Namun seorang ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing masing boleh memohon kewarganegaraan negara ini mengikut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Hakim Datuk S. Nantha Balan yang menentang penghakiman itu menyatakan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) perlu merangkumi ‘ibu’.
Panel tiga hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada 9 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman Family Frontiers dan enam ibu warga tempatan dengan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.
Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember 2020, mereka antara lain memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.
Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – UTUSAN