Anak mangsa kemalangan ditawar tempat di Kolej Komuniti

Anak mangsa kemalangan ditawar tempat di Kolej Komuniti

MOHAMAD KELANA Juwit (kanan) ketika melakukan ziarah ke rumah keluarga mangsa di Jalan Datuk Nawar, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Anak sulung kepada mangsa kemalangan maut di Merlimau di sini, baru-baru ini ditawarkan peluang menyambung pengajian di Kolej Komuniti Jasin (KKJS) sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga, seterusnya memastikan masa depannya lebih terjamin.

Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, pihaknya bersedia menerima Tengku Aliff Daniel Tengku Syafarin, 19, untuk melanjutkan pengajian dalam mana-mana kursus yang disediakan.

Menurutnya, KKJS menyediakan empat program sijil iaitu Sijil Logistik, Sijil Seni Bina, Sijil Teknologi Maklumat serta Sijil Multimedia Kreatif dan Pengiklanan.

“Pihak kami menawarkan peluang pengajian kepada anak sulung Allahyarhamah Noor Faradhillah Muhammad Yusuff bagi memastikan beliau mendapat pendidikan dan kemahiran yang boleh membantunya membina masa depan yang lebih baik.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Tengku Aliff Daniel untuk mendaftar dalam mana-mana bidang yang diminatinya menerusi kerjasama KKJS dan Global Peace Melaka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan ziarah ke rumah keluarga mangsa di Jalan Datuk Nawar, Merlimau hari ini.

Sementara itu, Tengku Aliff Daniel berkata, dia mengucapkan terima kasih atas keprihatinan KKJS terhadap apa yang menimpa keluarganya baru-baru ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada KKJS kerana sudi menziarahi kami sekeluarga. Insya-Allah saya bersedia mempertimbangkan tawaran tersebut dan akan memikirkan program yang sesuai untuk saya,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, Noor Faradhillah, 42, maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang menghantar anak ke sekolah.

Allahyarhamah meninggalkan tiga anak yang masih bersekolah serta seorang bayi berusia enam bulan yang kini di bawah penjagaan suami dan saudara terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN