SUNGAI PETANI: Anak bongsu kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pagi tadi.
Muhammad Darwisy yang berusia 12 bulan mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung sejak lahir sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Resort Homes Cinta Sayang, di sini pada pukul 3.15 pagi.
Baddrol yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) berkata, kejadian disedari isterinya. Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, ketika mahu memberi susu kepada anak bongsu kembar itu.
“Isteri saya terkejut mendapati mukanya berubah dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Saya kemudian menghubungi ambulans sebelum disahkan anak sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba selepas itu,” katanya.
Muhammad Darwisy merupakan kembar kepada Dhiya Dinara selain pasangan itu memiliki dua lagi anak iaitu Dhiya Delisha, 9, dan Dhiya Daniya, 4.
Baddrol berkata, pihak keluarga setakat ini masih menunggu proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pagi ini.
Sebaik selesai bedah siasat, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, Taman Kelisa Ria. – UTUSAN