SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dicabar untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Cabaran itu dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata, cabaran itu adalah mengambil kira Aminuddin yang merupakan ADUN Sikamat sejak tahun 2008 itu telah menjadikan Labu sebagai DUN angkatnya.
“Ini tekad saya sendiri sebagai ADUN Labu untuk lontarkan cabaran tersebut memandangkan Aminuddin yang juga Menteri Besar menjadikan Labu sebagai DUN angkatnya.
“Biar Pengerusi PKR lawan Pengerusi PN di Labu. Kalau benar mahu jadi Labu DUN angkat teruslah isytihar bertanding di Labu.
“Saya bersedia dan akan pertahankan Labu, kami akan mengambil alih Negeri Sembilan pada PRU akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden Bersatu di Nilai dekat sini semalam.
Aminuddin merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Keadilan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.
Sementara itu, Mohamad Hanifah berkata, PN Negeri Sembilan yakin dapat merampas tiga kerusi DUN yang diwakili oleh PKR ketika ini pada PRU akan datang iaitu DUN Sikamat, Ampangan dan Pilah.
“Pada PRU lalu, di DUN Pilah kami satu lawan satu dengan PKR dan hanya kalah 1,000 undi walhal di kawasan- kawasan Melayu kami menang hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk di Ampangan hanya kalah 300 undi.
“Di DUN Sikamat pun lebih kurang 2,000 undi dan itu bukan satu jumlah yang banyak sebab itu kami yakin dapat merampas ketiga-tiga kerusi diwakili PKR itu,” katanya. – UTUSAN