PETALING JAYA: Pihak berkuasa harus bertindak adil dan tidak bersikap selektif dalam menangani isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu-individu yang didakwa menghina Islam sebagaimana tindakan dikenakan ke atas mereka yang memperlekehkan agama Hindu.
“Kita harus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang. Tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan keharmonian mesti dijaga dengan sebaiknya.
“Ini bukan soal perkauman atau agama tetapi tentang menghormati sesama rakyat Malaysia dan memastikan keamanan negara tidak tergugat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di TikTok video seorang pengguna media sosial membuat kenyataan mempersendakan ajaran agama Islam.
Tindakan itu juga turut dilakukan oleh pihak lain sehingga mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum di Malaysia.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap individu yang memuat naik kandungan mempersendakan agama Islam.
Mengulas mengenai tindakan MCMC untuk menggantung stesen radio Era FM, Saravanan berkata, tindakan itu terlalu keras dan tidak adil kepada pekerja lain yang tidak terlibat.
Katanya, kesalahan yang dilakukan oleh tiga penyampai radio tidak sepatutnya memberi kesan kepada seluruh kakitangan ERA FM.
“Terutamanya selepas stesen berkenaan telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.
“Kita bimbang jika stesen ini digantung, ramai pekerja daripada pelbagai kaum akan terkesan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya. – UTUSAN