PETALING JAYA: Umat Islam diseru agar mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan dengan ‘berpuasa’ daripada isu-isu panas serta fitnah berkaitan politik, perkauman dan agama yang hanya akan menyuburkan budaya kebencian serta permusuhan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, sebaliknya turut menuntut umat Islam mengawal lidah daripada memfitnah serta membersihkan hati daripada perasaan dendam dan benci sesama insan.
“Kita jadikan majlis berbuka sebagai ruang mempereratkan silaturahim dengan bersikap rahmah merentasi kepartian dan kelompok.
“Dalam suasana dunia yang kelam dengan kitaran fitnah, Ramadan hadir sebagai cahaya yang memberi harapan untuk kita keluar daripada kitaran ganas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia serta keterangan bagi membezakan antara yang benar dan batil.
Mujahid berkata, tujuan utama syariat berpuasa adalah untuk mendidik umat Islam membebaskan diri daripada akhlak yang keji ke arah akhlak yang terpuji.
“Jika tidak, apa yang kita peroleh daripada ibadah puasa hanyalah lapar dan dahaga semata-mata. Ramadan mendidik kita menghayati makna hidup yang lebih mulia dengan memperbaiki akhlak.
“Selamat berpuasa daripada menyebarkan fitnah, dan selamat berpuasa daripada perasaan kebencian serta permusuhan sesama kita. Ramadan kareem, Ramadan mubarak,” katanya.-UTUSAN