Alif Satar anjur program Kiam Macam Jumaat esok - Utusan Malaysia

Alif Satar anjur program Kiam Macam Jumaat esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Alif Satar bakal menganjurkan acara Kiam Macam Jumaat yang akan berlangsung di Masjid Al-Falah USJ 9, esok.

Alif yang sebelum ini aktif dengan gerakan Subuh Macam Jumaat berkata, penganjuran majlis tersebut tercetus setelah rakan seperjuangannya, Faizal Tahir menzahirkan kebimbangannya terhadap penindasan yang berlaku di Palestin tempoh hari.

“Seperti yang kita tahu, baru-baru ini, Israel kembali menyerang saudara kita di Palestin di bulan Ramadan ini. Mungkin ramai antara kita yang sudah selesa dan terlupa yang masih ada lagi umat Islam yang dibunuh, ditindas.

“Jadi, acara ini bertujuan untuk kejutkan orang ramai untuk terus tunjukan solidariti menerusi ibadah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Alif, dia berasa bersyukur apabila niat baiknya itu disambut baik oleh pihak pengurusan masjid, malah bakal menyajikan beberapa pengisian menarik sepanjang acara berlangsung.

“Program tersebut akan dimulakan dengan solat tarawih dan akan ada perkongsian sedikit daripada Faizal Tahir mengenai kisah pengalaman dia membantu orang-orang perlarian di tempat yang pernah diziarahi.

“Mungkin ada ramai yang rindu untuk tidur di masjid. Jadi selepas acara pada malam itu selesai, kita akan tidur di sana dan bangun untuk solat tahajud dan subuh bersama jemaah.

“Saya rasa sangat bersyukur bila kempen
Kiam Macam Jumaat ini dirancang, masjid sedia nak buka pintu. Lebih-lebih lagi bila mendapat sokongan daripada nazirnya, Tan Sri Syed Zainal. Mereka memang menyambut orang nak datang ke masjid,” jelasnya.

Alif bagaimanapun berharap gerakannya itu turut mendapat sambutan orang ramai selain percaya akan peranan setiap individu untuk saling mengingatkan antara satu sama lain.

“Saya berharap orang ramai dapat datang mengimarahkan program tersebut dan bersama-sama kita membuat solat tahajud dan solat hajat buat rakyat Palestin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alif bersama kumpulan The Locos telah melancarkan lagu raya terbaharunya iaitu Senyum-Senyum Raya hasil kolaborasi bersama Hong Leong Bank.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya