PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT dan berdoa agar keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan menerusi proses mahkamah hari ini.
Menurut Syed Saddiq, beliau juga sudah menunggu sekian lama untuk menuntut keadilan setelah mula disiasat sejak tahun 2020.
“Alhamdulilah tibanya juga hari ini. Saya berada di pintu Mahkamah Rayuan dengan penuh sifat bermuhasabah dan yakin untuk menuntut keadilan dan kebenaran.
“Saya yakin bahawa institusi kehakiman yang saya hormati, pertahan dan martabatkan adalah jalan yang terbaik untuk membersihkan nama saya dan untuk membuktikan integriti saya. Realitinya kes ini lebih besar daripada saya Syed Saddiq semata-mata,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan memakai sut berwarna hitam.
Beliau kemudian bertemu dengan kedua ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz yang telah menunggu lebih awal di lobi mahkamah.
Mengulas lanjut, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut menyifatkan perjuangan beliau dalam kes tersebut merupakan sebahagian usaha untuk membawa politik yang bersih di negara ini.
“Ini boleh dijadikan jalan untuk membawa politik yang bersih (dan) matang, tolak politik ugut mengugut, sogok menyogok. Itu semua politik yang lepas dan lama. InsyaAllah kita boleh adakan budaya politik yang baharu dan lebih baik dan segar,” ujarnya.
Syed Saddiq berkata, beliau juga sentiasa menghargai pengorbanan kedua ibu bapa, adik beradik serta sahabat perjuangan yang tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya selama ini.
“Kalian semua yang mengingatkan saya mengapa perjuangan ini perlu diteruskan walau sesukar atau sesakit mana pun realitinya, saya hanya sekadar kenderaan untuk membawa perubahan kepada negara,” katanya. – UTUSAN