Alam Flora galak budayakan bawa beg guna semula ke bazar Ramadan

Alam Flora galak budayakan bawa beg guna semula ke bazar Ramadan

ZALIHA Mustafa mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar ramadan pada Majlis Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPJ) di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah memastikan persekitaran lebih bersih dan sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, sebagai peneraju dalam penyelesaian alam sekitar, mereka akan meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula.

Ia sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik sekali guna yang memberi kesan terhadap alam sekitar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem.

“Oleh itu, kami ingin mengajak orang ramai untuk bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula.

“Ia juga bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perubahan positif dalam amalan harian mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya, di sini hari ini.

Pada program itu, Alam Flora mengagihkan sebanyak 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada pengunjung di bazar Ramadan, Presint 3, di sini.

Selain itu, Shariman berkata, Alam Flora turut menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah.

Jelasnya, ini kerana ia dapat mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.

“Jika secara purata kita menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan dalam bulan Ramadan dan menggantikannya dengan beg guna semula, kita mengurangkan sebanyak 90 beg plastik daripada dibuang ke tapak pelupusan. Bayangkan, kalau didarabkan dengan beratus ribu orang,” ujarnya.

Beliau juga berharap usaha kecil dari Alam Flora ini dapat mencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan beg plastik secara total. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya