Aktiviti jual mercun, bunga api, rokok tidak berkastam lebih RM45 juta tumpas

Aktiviti jual mercun, bunga api, rokok tidak berkastam lebih RM45 juta tumpas

ANTARA mercun yang dirampas dalam serbuan di premis itu di Kapar, Klang, Selangor.- FOTO/ ISKANDAR SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA)  menumpaskan aktiviti penyimpanan serta penjualan mercun dan bunga api tanpa permit serta rokok tidak berkastam bernilai RM45 juta.

Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, JKDNKA melaksanakan dua operasi berasingan di Klang, kelmarin dan Rawang semalam menerusi Op Taring.

Menurutnya, dalam operasi di Kapar, Klang dekat sini, semalam, pasukan serbuan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit dengan nilai keseluruhan RM32.2 juta.

“Seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai bertanggungjawab ke atas premis itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Barangan yang dirampas adalah  25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis; sebuah kontena; dan sebuah lori tiga tan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Azmi berkata, sementara itu, operasi Op Taring Alpha 1 di Bukit Sentosa, Rawang semalam berjaya merampas rokok tidak berkastam bernilai RM12.8 juta.

“Seorang lelaki berusia 46 tahun yang bertindak  sebagai penjaga premis dan penghantar barangan turut ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Barangan yang dirampas adalah 27,100 karton rokok putih pelbagai jenis; 4,560 karton rokok kretek pelbagai jenis; dan sebuah van berserta anak kunci,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan daripada kedua dua operasi ini dianggarkan sebanyak RM45 juta.

“Sejak 1 Januari lalu hingga hari ini, JKDNKA melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) sudah melaksanakan 69 serbuan di seluruh negara.

“Seramai 107 individu ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste yang bernilai RM370 juta.

“Polis  menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.- UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya