PETALING JAYA: Terus mencuri perhatian, babak panas menerusi drama bersiri Bidaah arahan penerbit sensasi, Erma Fatima mendapat teguran dari pendakwah bebas, PU Syed.
Menerusi hantaran di Facebook, PU Syed atau nama lengkapnya, Ustaz Syed Mohd. Bakri Syed Ishak, 43, telah meluahkan rasa kurang senang apabila plot serta adegan melampau yang melibatkan agama Islam dipertontonkan kepada umum.
“Cerita itu adalah bidaah dholala. Apatah lagi plot cerita yang melampau ditonjolkan khasnya apabila melibatkan Islam.
“Sudah mati idea rasanya para sutradara di Malaysia dalam menghasilkan cerita berkualiti dan patuh syariah.
“Memang wujud ajaran sesat yang menghambakan para pengikutnya, namun saya rasa tak perlukan dipertontonkan kepada khalayak. Apatah lagi adegan atas katil juga dipamerkan seperti video tular dalam media sosial,” katanya.
Syed berkata demikian susulan tular babak pelakon Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Walid lakonan Faizal Hussein sambil berbaring di atas katil.
Dalam masa sama, Syed turut menyarankan penerbit versatile itu menerbitkan sebuah drama yang berunsurkan patriotik dan bersesuaian untuk dijadikan tontonan umum.
“Erma Fatima bolehlah cuba buat drama yang melibatkan cinta kepada tanah air seperti ketenteraan, kepolisan atau cerita-cerita islamik yang lebih realistik untuk kesedaran masyarakat.
“Apa fungsi agensi-agensi yang menapis drama atau filem sebelum dibenar untuk ditayangkan. Kementerian yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini. Adakah peraturan sekarang sudah semakin longgar,” ujarnya.
Selain drama Bidaah, pendakwah itu turut menegur sebuah lagi karya terbitan Erma yang berjudul Keluarga Itu yang dikatakan mempunyai babak dan dialog yang tidak senonoh ditonjolkan dalam drama.-UTUSAN